Monday, January 12, 2004

***Bunga-Bunga Cinta***

Putus cinta? Kecewa ditinggalkan? Ataupun bahagia mendapat cinta sejati? Beruntung sungguh bagi mereka yang mendapat cinta sejati. Namun, persoalannya; kenapa kita harus berasa tertekan dek penangan cinta yang kecundang di pertengahan jalan?

Cinta merupakan satu perasaan yang sukar digambarkan melalui kata – kata. Ia hanya dapat dinikmati secara mengalaminya sendiri. Cinta tidak dapat dipelajari tetapi dialami. Uniknya cinta kerana ia jelmaan kasih sayang yang teragung. Cintalah segalanya bagi mereka yang sedang bercinta. Cinta menjadi jambatan penghubung kepada dua hati yang asalnya terpisah dan saling tidak mengenali.

Pernahkah kita terpikir, cinta merupakan salah satu motivasi terbaik bagi manusia? Jika cinta sudah tiada di hati, tandanya salah satu nikmat Allah telah tercabut daripada seseorang, sedangkan cinta adalah salah satu nikmat Allah terhadap hamba – hambaNya. Ketiadaan cinta di hati, bakal merubah seluruh kehidupan seseorang.

Orang yang tiada perasaan cinta adalah orang yang telah kehilangan motivasi dalamannya. Cinta seharusnya melahirkan tindakan – tindakan yang melambangkan kelembutan, kasih sayang dan kebijaksanaan terutamanya di dalam membuat keputusan berhubung dengan insan – insan berlawanan. Cinta adalah kenderaan menuju kebahagiaan. Cinta yang murni adalah pemangkin kepada kehidupan yang penuh bahagia. Sebagaimana ia bermula, cinta seharusnya berkekalan sehinggalah ke penghujungnya. Selama mana cinta dapat dipertahankan kepada kedudukannya, selama itulah kebahagiaan menjadi penghias yang terindah. Apabila cinta sudah tidak dihargai, kehidupan akan berpaling ke tahap terendah. Jawapannya derita tanpa penyudah.

Tak usahlah disebut pasal cinta jika tidak tahu untuk menghargainya. Jangan ditanya tentang perasaan jika tidak berada di hati. Janganlah menunjuk di dada jika berhasrat untuk melukai hati pasangan masing – masing. Janganlah mengungkapkan cinta itu abadi selama – lamanya jika di hati terniat untuk berpisah. Janganlah memandang anak matanya jika berbohong kepadanya. Usahlah diucapkan hi hi jika kelak mengucapkan bye bye. Tak usahlah katakan padanya dialah satu – satunya, jika sudah ada orang di sisi. Janganlah dikunci pintu hatinya bak lagu Ramlah Ram; “ kau kunci cintaku di dalam hatimu.....” jika tiada anak kunci untuk membukanya kelak.

Kecewa cinta adalah kekecewaan yang amat menyakitkan. Kalau masih terdapat orang boleh tersenyum tatkala ditinggalkan, mungkin kita boleh mengatakan bahawa dia tidak jujur sewaktu bercinta, sebab itu dia tidak berasa apa – apa. Mengapa mesti dikecewakan? Hati yang jujur, mutlak kepadanya telah dikecewakan. Mengapa harus harus mengalami detik – detik yang menyakitkan sedangkan kita sebenarnya jujur dan tidak menyakitkan hatinya lantaran cinta kita padanya tulus?

Mungkin tuhan sengaja menemukan kita dengan orang yang salah sebelum menemui insan yang betul supaya apabila akhirnya berjumpa insan yang betul, kita akan tahu bagaimana untuk bersyukur dengan nikmat pemberian dan hikmah di sebalik pemberian itu. Mungkin dia bukan insan yang terbaik untuk kita kerana kita terlalu baik untuknya, lalu kita dipisahkan untuk bertemu dengan insan lain yang lebih baik dan lagi sesuai. Janganlah terlalu kecewa kerana kita tidak tahu ada hikmah yang tersembunyi disebaliknya dan janganlah terlalu gembira dengan sesuatu keuntungan kerana kita tidak tahu akan akibatnya.

Kita perlu berani untuk berdepan dengan semua cabaran yang mendatang. Kalaupun tewas, itu bukan bererti akhir kepada kehidupan. Tidak semestinya orang yang kita sangkakan terbaik untuk kita sebenar – benarnya terbaik. Kalau dia sudah sanggup meninggalkan kita pada waktu ini, ini menunjukkan sifat tidak bertanggungjawabnya. Adalah lebih baik dia meninggalkan kita sekarang daripada esok setelah kita mempunyai ikatan perkahwinan. Apabila dia meninggalkan kita, bererti dia telah memberikan satu peluang untuk kita menilai siapa dirinya yang sebenar. Dia memberi peluang kepada kita untuk mendapatkan seorang yang lebih baik daripada dirinya.

Lantaran itu, bercintalah selagi termampu kerana cinta seumpama cahaya; bukan pencetus masalah dan pembawa derita. Cinta akan membuatkan manusia bangkit untuk membina kehidupan terbaik. Jika cinta dijelmakan dalam diri ia begitu memotivasi. Sambutlah kehadiran cinta seadanya.

“Sebahagian daripada tanda – tanda kebesaran ALLAH bahawa DIA menjadikan untukmu jodoh (suami/isteri) daripada jenismu sendiri, agar kamu memperolehi sakinah (ketenangan/kegembiraan) padanya, dan kemudian DIA ciptakan antara kamu berdua cinta berahi dan kasih sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu menjadi tanda bagi mereka yang mahu berfikir.” Ar-Rum, 31.

Leave your messages here...
Name

URL or Email

Messages(smilies)